Saturday 6 April 2013

Biografi Imam Hadis : Imam At-Tirmizi shihib as-Sunan





Imam at-Tirmizi rhm.

Nama dan Gelaran

Imam al-Hafiz Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa bin Saurah bin Musa bin ad-Dahhak As-Sulami  adh-Dharir al Bughi at-Tirmizi, ialah salah seorang ahli periwayat dan ahli hadis yang terkemuka. Selain Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud rhmhum. dan tokoh-tokoh hadis yang lain.
Beliau dikenali sebagai:
Al-Sulami ialah nisbah kepada Bani Sulaim (dibaca secara tasghir) yang merupakan satu kabilah yang berasal dari Qais `Ailan.
Adh-Dharir yang bermaksud seorang yang buta. Menurut setengah riwayat matanya menjadi buta di akhir umur beliau kerana banyak menangis lantaran menghabiskan umurnya beribadat.
Al-Bughi ialah nisbah kepada suatu kampung di dalam daerah Tarmiz, iaitu tempat di mana beliau wafat.
At-Tirmizi adalah gelaran paling masyhur. Seluruh para ilmuan zaman berzaman mengenali beliau sebagai at-Tirmizi. Gelaran ini merujuk kepada tanah tumpah darah beliau yang terletak di utara Iran, di kawasan utara Sungai Jaihun (Amudaria) iaitu kota Tizmiz.

Kelahiran Imam at-Tirmizi rhm.

Ahli sejarah tidak menukilkan tarikh kelahiran beliau secara tepat. Mereka hanya menggariskan tarikh kelahiran beliau sekitar awal kurun ketiga Hijrah. Namun demikian menurut Iman adz-Dzahabi: Beliau lahir pada tahun 209H berdasarkan sepakat majoriti ahli sejarah mengatakan beliau meninggal dunia pada tahun 279H ketika berusia 70 tahun.

Sejarah Kehidupan dan Pengembaraannya Menuntut Ilmu.

          Sebahagian pengkaji menyatakan Abu ‘Isa at-Tirmizi rhm. berasal dari Mirwaz. Kemudian berpindah ke Tirmidz dan menetap di sana. Beliau hidup dan membesar di zaman kegemilangan ilmu hadis dan amat gemar mempelajari ilmu dan mencari hadis. Untuk memperluas dan mendalami lagi ilmunya. Imam at-Tirmizi rhm. sentiasa mengembara dan merantau ke banyak negeri. Beliau telah mengikuti halaqah-halaqah ilmu Hadis di segenap ceruk rantau termasuk di pusat-pusat pengajian ilmu yang terdapat di Khurasan, Iraq dan Hijaz. Beliau telah mendengar hadis, menghafal dan mencatat hadis-hadis dengan baik.
Namun begitu para ulama hadis berpendapat Imam at-Tirmizi rhm. tidak pernah sampai ke Mesir, Syam dan Bagdad kerana mereka mendapati beliau meriwayatkan hadis dari ulama-ulama Mesir, Syam dan Bagdad secara perantaraan.
Imam at-Tirmizi rhm. telah mengambil masa yang begitu lama menimba ilmu, belajar, mencatat, berdiskusi, menghafal hadis, mengajar, menyumbang dan mengarang sehingga meletakkan dirinya sebagai ulama hadis yang disegani oleh para ulama sezaman dengannya.  Pada akhir kehidupannya beliau telah menjadi buta.  Akhirnya Imam yang zuhud dan  banyak berkorban ini  meninggal dunia. Beliau kembali mengadap Ilahi di Tirmidz pada malam isnin 13 Rejab tahun 279H ketika berusia 70 tahun.

Guru-Guru Imam at-Tirmizi rhm.

Imam at-Tirmizi rhm. adalah salah seorang murid kepada Imam Hadis yang terkenal iaitu Imam al-Bukhari rhm. dan merupakan salah seorang perawinya.  Selain ilmu hadis, Imam at-Tirmizi rhm. juga mempelajari ilmu Fekah dengan Imam al-Bukhari rhm. Manakala dalam jalur periwayatan yang lain Imam at-Tirmizi rhm. juga berkongsi guru dengan Imam al-Bukhari rhm. Bahkan beliau juga berkongsi guru dengan enam orang pengarang kutub as-sittah. Nama-nama guru mereka ialah :
Abbas Ibnu Abd al-‘Azim al-‘Ambari, wafat pada tahun 247H.
Abu Hafs ‘Amr ibnu Ali al-Fallas, wafat pada tahun 249H.
Nasr Ibnu Ali al-Jahdhami, wafat pada tahun 250H.
Muhammad Ibnu al-Mutsanna Abu Musa, wafat pada tahun 252H.
Muhammad Ibnu Basysyar Bundar, wafat pada tahun 252H.
Ya’qub Ibnu Ibrahim al-Dawraqi, wafat pada tahun 252H.
Ziyad Ibnu Yahya al-Hasani, wafat pada tahun 254H.
Muhammad Ibnu Ma’mar al-qaysi al-Bahrani, wafat pada tahun 256H.
Abu Sa’id al-Ashaj Abdullah Ibnu Sa’id al-Kindi, wafat pada tahun 257H.
Guru beliau yang  lain  ialah  Qutaibah bin Sa‘id, Ishaq bin Musa, Mahmud bin Ghailan, Sa’id bin ‘Abdur Rahman, Muhammad bin Basysyar, ‘Ali bin Hujr, Ahmad bin Mani’ dan Muhammad bin al-Mutsanna.

Murid-Murid Imam at-Tirmizi rhm.

Hadis dan ilmu-ilmunya dipelajari dan diriwayatkan oleh ramai tokoh dari kalangan alim ulama. Di antaranya ialah Makhul Ibnul-Fadl, Muhammad bin Mahmud ‘Anbar, Hammad bin Syakir, ‘Ai-bd bin Muhammad an-Nasfiyyun,   al-Haisam bin Kulaib asy-Syasyi, Ahmad bin Yusuf an-Nasafi, Abul ‘Abbas Muhammad bin Mahbub al-Mahbubi yang meriwayatkan kitab al-Jami’ daripadanya dan lain-lain.

Ketokohan Imam at-Tirmizi rhm. dan Pengiktirafan Para Ulama Terhadapnya.

Beliau merupakan tokoh ulama sepanjang zaman. Kewibawaan beliau dalam lapangan periwayatan, penulisan dan pengajaran diakui oleh para ulama. Berikut dinukilkan beberapa pujian dan akuan para ulama terhadap keahlian beliau:
Imam al-Bukhari rhm. pernah mengungkapkan kata terhadap Imam at-Tirmizi rhm. yang berbunyi: “Aku lebih banyak mendapat manfaat darimu berbanding engkau mengambil manfaat dariku”.
Al-Hafiz Abu al-Fadhl Muhammad Bin Thohir al-Maqdisi menceritakan bahawa al-Hasan bin Ahmad Abu Muhammad as-Samarqandi mengabarkan kepada kami bahawasanya Abu Sa'id Abdul Rahman Bin Muhammad al-Idris al-Hafiz mengatakan:   "Muhammad bin 'Isa bin Saurah at-Tirmizi al-Hafiz adh-Dharir rhm. adalah seorang imam teladan dalam bidang ilmu hadis.  Beliau telah menyusun kitab al-Jami’, at-Tawarikh dan al-'lal.  Kitab-kitab susunannya itu membuktikan bahawa beliau seorang ulama yang berpengetahuan luas dan selalu menjadi teladan kepada orang lain terutamanya dalam hafalan hadis."
Adz-Dzahabi rhm. di dalam kitabnya al-Mizan mengungkapkan: “At-Tirmizi rhm. adalah seorang yang banyak menghafal, penyusun kitab al-Jami' dan diperakui kesahihan riwayatannya oleh Ijma' Ulama'.”
Ibnu al-'Imad al-Hambali rhm. di dalam kitabnya Syadzrat adz-Dzahab, mengungkapkan sebagaimana berikut: "At-Tirmizi rhm. amat menonjol di kalangan ulama seangkatannya. Beliau merupakan model dalam penghafalan dan mendalami ilmu hadis."

Hasil Karya Imam at-Tirmizi rhm.

Imam at-Tirmizi banyak menulis kitab-kitab. Di antaranya:
• Kitab al-Jami’ terkenal dengan sebutan Sunan at-Tirmizi.
• Kitab al-‘Ial.
• Kitab at-Tarikh.
• Kitab asy-Syama’il an-Nabawiyyah.
• Kitab az-Zuhd.
• Kitab al-Asma’ wal-kuna.
Di antara kitab-kitab tersebut yang paling terkenal serta beredar luas adalah al-Jami’.

No comments:

Post a Comment